Bersempena dengan ‘Bersatu
Games 2012’ yang diadakan pada 1-5 Julai 2012 di Christchurch yang lalu, Kelab
UMNO Welington tidak terlepas peluang menghantar 4 orang wakil pendebat yang
hebat, mempunyai daya saing yang mantap serta berkeyakinan tinggi. Motifnya
tidak lain dan tidak bukan iaitu untuk berjuang di dalam Pertandingan Debat
Piala Kelab UMNO New Zealand yang diadakan pada setiap tahun. Berbekalkan
persediaan yang rapi dan kemahiran berhujah di khalayak ramai, wakil-wakil yang
dihantar oleh kelab ini mampu memberikan saingan yang sengit kepada
pendebat-pendebat lain.
Berentap buat pertama
kalinya pada 3 Julai 2012 yang lalu, pendebat-pendebat kita telah berjaya
mengalahkan wakil pendebat Kelab UMNO Otago di peringkat separuh akhir atas
dasar penghujahan yang jelas, pengisian yang menepati kehendak usul serta
kelemahan pihak lawan yang mengutarakan hujah yang rapuh. Oleh itu, berbekalkan
strategi yang sama serta ditambahkan lagi dengan keyakinan yang semakin tinggi,
mereka telah memberikan saingan yang sengit terhadap wakil-wakil pendebat dari
Kelab UMNO Auckland pada peringkat akhir. Rata-rata pendebat menyifatkan bahawa
pengalaman pertama mereka berdebat di luar negara sebagai sesuatu yang sangat
berguna kerana ini meningkatkan keyakinan mereka berucap di khalayak ramai
serta meningkatkan kemahiran berkomunikasi.
Segala usaha dan pengorbanan yang dicurahkan oleh
para pendebat telah terbayar dengan kejuaraan yang dirangkul oleh wakil-wakil
pendebat daripada Kelab UMNO Wellington di dalam pertandingan debat Kelab UMNO
New Zealand dan seterusnya mengukir kenangan terindah buat seluruh warga
pelajar Malaysia di Wellington atas kejayaan pendebat-pendebat kita. Peserta
membawa pulang sebuah piala dan setiap pendebat mendapat hadiah sampingan
beserta plak. Tambahan lagi, salah seorang pendebat kita telah dipilih sebagai
pendebat terbaik pada peringkat separuh akhir dan akhir dan sekaligus
membanggakan seluruh warga pelajar di Wellington. Kejayaan besar ini diharap
akan meningkatkan lagi minat warga pelajar untuk memikul tanggungjawab ini pada
masa akan datang dan seterusnya mengekalkan kejuaraan yang dirangkul.
Nor Nazneem Inche Kamarudin
Ahli Jawatankuasa Exco Sukan dan Kebudayaan
awhhh...
ReplyDelete