AGM 2012

Annual General Meeting 2012

Mesyuarat tahunan ini diadakan sebagai penutup aktiviti dijalankan kelab sepanjang 2012 dan bagi menyampaikan sijil kepada ahli-ahli aktif sepanjang tahun berdasarkan jumlah penglibatan mereka dalam pelbagai aktiviti menerusi sistem mengumpul cop. Selain itu, ianya turut diadakan bagi melantik barisan peneraju kelab untuk sesi 2012/2013 secara rasmi. Upacara ini telah diadakan di Student Union Building, Kelburn Campus VUW pada hari Sabtu, 20 Oktober 2012, bermula pukul 8.00 malam dan berakhir 10.30  malam.

Ahli-ahli Wellington Umno Club

Ahli-ahli Wellington Umno Club & Maslina Mohd Akhir, Presiden WMSO 2012/13


Ahli-ahli Wellington Umno Club, (dari hadapan) Fatin Rye Hanna, Mimi Aziz & Siti Nuraishah. 
Berakhirnya tahun akademik 2012 menandakan berakhirlah tampuk kepimpinan saudara Muhammad Fitri bin Ahmad dan rakan-rakan. Setelah bertungkus-lumus menganjurkan pelbagai aktiviti untuk menarik minat ahli selain memupuk semangat kesatuan antara pelajar Malaysia di bumi Wellington ini, Kelab UMNO Wellington sesi 2011/2012 berasa berbesar hati kerana telah dapat berkhidmat sekali lagi untuk kebajikan para pelajar Malaysia di sini.

Mantan Presiden WUC 2011/12, saudara Muhammad Fitri bin Ahmad

Patah tumbuh hilang berganti, Annual General Meeting telah diadakan pada 20 Oktober 2012 yang lepas. Bermula pada pukul 8.30 malam, majlis ini turut dihadiri tetamu-tetamu kehormat iaitu Ustaz Mohd Erfino bin Johari, Pengarah EMNZ; Puan Salmah Kassim, Education Attache, EMNZ; dan Puan Noor Azlin binti Adnan, pegawai JPA di New Zealand. Dimulakan dengan bacaan doa, majlis yang dipengerusikan oleh saudari Salehana ini didahulukan dengan upacara penyampaian hadiah bagi pemenang pertandingan boling yang diadakan baru-baru ini di Bolarama, Newtown.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan pengenalan ahli jawatankuasa kelab sesi 2011/2012. Selepas itu, saudara Muhammad Fitri telah dijemput untuk membentangkan laporan kelab bagi aktivit-aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tahun 2012 diikuti dengan pembentangan laporan kewangan kelab oleh saudari Nurul Nadia Mohd Azmir, bendahari WUC serta sedikit video ringkas memori indah ahli WUC sepanjang tahun ini yang telah dikompilasikan oleh saudari Nurul Fasihah selaku Exco Media dan Hebahan.

Kemudian, majlis telah menjemput para tetamu kehormat untuk menyampaikan sijil kepada penerima anugerah Emas, Perak dan Gangsa, yakni mereka yang telah menjadi ahli aktif sepanjang tahun ini menerusi penglibatan mereka dalam pelbagai aktiviti yang telah dikenalpasti menerusi sistem mengumpul cop, yang mana baru diperkenalkan awal tahun ini untuk menarik minat pelajar untuk melibatkan diri dalam pelbagai acara anjuran kelab. Penerima anugerah Gangsa adalah mereka yang telah menyertai 5 hingga 7 aktiviti, sementara perak (8-9 aktiviti) dan Emas (lebih dari 10 aktiviti). Penerima anugerah ini menerima sijil yang ditandatangani Perdana Menteri kita sendiri dan pelbagai cenderamata UMNO sebagai penghargaan. Di antara menerima anugerah Emas, Perak dan Gangsa;

Saudara Aizat Zulhilmi Yusup,

Saudari Hazemyn Roslan,

Saudari Suraya Saderi,

Saudara Muhammad Arif Idrus,

Saudari Kirandeep Kaor,

Saudara Muhammad Asfan Nazilah.


Seterusnya, majlis diteruskan dengan upacara penyampaian sijil kepada ahli jawatankuasa kelab sesi 2011/12. Majlis kemudiannya diambil alih saudara Muhammad Fitri dan Nurul Najihah bagi mengumumkan barisan kepimpinan WUC sesi 2012/2013. Berikut adalah 5 ahli jawatankuasa tertinggi kelab yang telah dilantik:


                                Presiden                              : Kamarul Helmi bin Kamarudin
                                Naib Presiden                     : Nor Nazneem binti Inche Kamarudin
                                Setiausaha                          : Salehana binti Sallehin
                                Bendahari                            : Nurafeefa binti Bungsu
                                Ketua Penerangan             : Mohamad Ali bin Affandi

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada mereka yang telah dilantik dan terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada barisan kepimpinan 2011/12 yang telah menjalankan tugas masing-masing dengan berjaya selain menjadi pelajar dalam pada masa yang sama. Presiden dan Naib Presiden sesi 2012/13 telah dipanggil bagi menyampaikan sedikit ucapan sepatah dua kata usai pengumuman tersebut. Sebelum mengakhiri majlis, satu sesi soal jawab telah dijalankan bagi menyelesaikan segala masalah agar buku baru dapat dibuka sebelum memulakan sesi 2012/13.

Sekitar jam 10.30 malam, hadirin telah dijamu dengan nasi kerabu hasil tangan chef terkenal Wellington, tidak lain tidak bukan- saudari Nurul Najihah. Selesai makan, majlis pun bersurai.


Disediakan oleh,

Salehana Sallehin
Setiausaha WUC 2012/13

0 comments:

Post a Comment

 
Wellington UMNO Club © 2012 | REVAMPED by ABANG PANDA, EXCLUSIVELY FOR WELLINGTON UMNO CLUB