Laporan Perkembangan Muhd Ariff Zulkifly




Laporan Perkembangan Muhd Ariff Zulkifly,bekas pemain Harimau Muda B di NZ

Pada 28 Februari 2012 yang lalu, bekas kapten skuad Bola Sepak Bawah 17 Tahun Negara yang juga bekas pemain Harimau Muda B, Muhd Ariff Bin Zulkifly telah tiba di bumi Wellington, NZ untuk menjalani ujian percubaan di Akademi Bola Sepak Ole’. Percubaan ini adalah amat penting bagi beliau sebagai batu loncatan untuk mencapai impiannya untuk bermain di luar negara di peringkat tertinggi pada suatu hari nanti. Kedatangan beliau telah disambut mesra oleh wakil-wakil pelajar Malaysia di Wellington. Jelas sekali beliau menggalas harapan tinggi ribuan peminat bola sepak Malaysia untuk melihat anak muda Malaysia juga mampu bersaing pada peringkat tertinggi dalam arena bola sepak sekaligus mampu menaikkan prestasi pasukan bola sepak Malaysia suatu hari nanti.


Setelah dua bulan beliau menjalani ujian percubaan di Akademi Bola Sepak Ole, prestasi Ariff boleh dikatakan sangat memberangsangkan. Ariff telah berjaya memikat jurulatih pasukan Liga Divisyen Dua NZ, Island Bay United untuk bermain bersama kelab itu dan telah ditawarkan kontrak selama satu musim. Pencapaian ini adalah amat membanggakan kerana bukan mudah untuk pemain dari Malaysia untuk bersaing mendapat tempat di luar Negara memandangkan ranking bola sepak kita yang masih lagi jauh terkebelakang. Lebih membanggakan lagi Ariff telah berjaya mendapat tempat di kesebelasan utama pasukan berkenaan sebagai pemain pertahanan tengah kerana prestasinya yang begitu cemerlang sepanjang ujian percubaan.


Berita tentang penghijrahan Ariff ke NZ juga telah berjaya menarik perhatian peminat-peminat bola sepak di Malaysia dan telah mendapat liputan akhbar-akhbar utama di Malaysia. Jurulatih pasukan utama negara, Ong Kin Swee juga telah memberi respon positif tentang perkembangan Ariff dan menyifatkan kejayaan Ariff mendapat tempat di luar negara sebagai sesuatu yang amat membanggakan, apatah lagi Ariff baru sahaja berusia 19 tahun dan peluang beliau untuk menyertai pasukan kebangsaan pasti akan tiba suatu hari nanti jika beliau kekal berdisiplin dan berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan prestasinya.


Buat keluarga Ariff , rakan-rakan, penyokong dan peminat di Malaysia, marilah kita doakan yang terbaik untuk Ariff sepanjang perjuangan beliau disini. Harapan kami, semoga misi bekas kapten skuad Bawah 17 Tahun negara untuk mencuba nasib menjadi pemain profesional di luar negara terlaksana. Diharapkan dengan usaha ini, lebih ramai lagi pemain-pemain bola sepak dari Malaysia berani mencuba nasib di luar negara demi melihat kemajuan bola sepak Malaysia pada masa hadapan. Semoga dengan semangat ini, tidak mustahil bola sepak Malaysia akan kembali gah seperti zaman kegemilangan arwah Mokhtar Dahari, Santokh Singh dan R. Arumugam. Jika mereka boleh. mengapa tidak kita? Insyaallah dengan keazaman yang jitu, kita mampu melakukannya!

- MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA-

Laporan disediakan oleh,
Kamarul Helmi Kamarudin
Timbalan Bendahari
Wellington Umno Club

3 comments:

 
Wellington UMNO Club © 2012 | REVAMPED by ABANG PANDA, EXCLUSIVELY FOR WELLINGTON UMNO CLUB