LIKE US!

AGM 2012

Annual General Meeting 2012

Mesyuarat tahunan ini diadakan sebagai penutup aktiviti dijalankan kelab sepanjang 2012 dan bagi menyampaikan sijil kepada ahli-ahli aktif sepanjang tahun berdasarkan jumlah penglibatan mereka dalam pelbagai aktiviti menerusi sistem mengumpul cop. Selain itu, ianya turut diadakan bagi melantik barisan peneraju kelab untuk sesi 2012/2013 secara rasmi. Upacara ini telah diadakan di Student Union Building, Kelburn Campus VUW pada hari Sabtu, 20 Oktober 2012, bermula pukul 8.00 malam dan berakhir 10.30  malam.

Ahli-ahli Wellington Umno Club

Ahli-ahli Wellington Umno Club & Maslina Mohd Akhir, Presiden WMSO 2012/13


Ahli-ahli Wellington Umno Club, (dari hadapan) Fatin Rye Hanna, Mimi Aziz & Siti Nuraishah. 
Berakhirnya tahun akademik 2012 menandakan berakhirlah tampuk kepimpinan saudara Muhammad Fitri bin Ahmad dan rakan-rakan. Setelah bertungkus-lumus menganjurkan pelbagai aktiviti untuk menarik minat ahli selain memupuk semangat kesatuan antara pelajar Malaysia di bumi Wellington ini, Kelab UMNO Wellington sesi 2011/2012 berasa berbesar hati kerana telah dapat berkhidmat sekali lagi untuk kebajikan para pelajar Malaysia di sini.

Mantan Presiden WUC 2011/12, saudara Muhammad Fitri bin Ahmad

Patah tumbuh hilang berganti, Annual General Meeting telah diadakan pada 20 Oktober 2012 yang lepas. Bermula pada pukul 8.30 malam, majlis ini turut dihadiri tetamu-tetamu kehormat iaitu Ustaz Mohd Erfino bin Johari, Pengarah EMNZ; Puan Salmah Kassim, Education Attache, EMNZ; dan Puan Noor Azlin binti Adnan, pegawai JPA di New Zealand. Dimulakan dengan bacaan doa, majlis yang dipengerusikan oleh saudari Salehana ini didahulukan dengan upacara penyampaian hadiah bagi pemenang pertandingan boling yang diadakan baru-baru ini di Bolarama, Newtown.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan pengenalan ahli jawatankuasa kelab sesi 2011/2012. Selepas itu, saudara Muhammad Fitri telah dijemput untuk membentangkan laporan kelab bagi aktivit-aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tahun 2012 diikuti dengan pembentangan laporan kewangan kelab oleh saudari Nurul Nadia Mohd Azmir, bendahari WUC serta sedikit video ringkas memori indah ahli WUC sepanjang tahun ini yang telah dikompilasikan oleh saudari Nurul Fasihah selaku Exco Media dan Hebahan.

Kemudian, majlis telah menjemput para tetamu kehormat untuk menyampaikan sijil kepada penerima anugerah Emas, Perak dan Gangsa, yakni mereka yang telah menjadi ahli aktif sepanjang tahun ini menerusi penglibatan mereka dalam pelbagai aktiviti yang telah dikenalpasti menerusi sistem mengumpul cop, yang mana baru diperkenalkan awal tahun ini untuk menarik minat pelajar untuk melibatkan diri dalam pelbagai acara anjuran kelab. Penerima anugerah Gangsa adalah mereka yang telah menyertai 5 hingga 7 aktiviti, sementara perak (8-9 aktiviti) dan Emas (lebih dari 10 aktiviti). Penerima anugerah ini menerima sijil yang ditandatangani Perdana Menteri kita sendiri dan pelbagai cenderamata UMNO sebagai penghargaan. Di antara menerima anugerah Emas, Perak dan Gangsa;

Saudara Aizat Zulhilmi Yusup,

Saudari Hazemyn Roslan,

Saudari Suraya Saderi,

Saudara Muhammad Arif Idrus,

Saudari Kirandeep Kaor,

Saudara Muhammad Asfan Nazilah.


Seterusnya, majlis diteruskan dengan upacara penyampaian sijil kepada ahli jawatankuasa kelab sesi 2011/12. Majlis kemudiannya diambil alih saudara Muhammad Fitri dan Nurul Najihah bagi mengumumkan barisan kepimpinan WUC sesi 2012/2013. Berikut adalah 5 ahli jawatankuasa tertinggi kelab yang telah dilantik:


                                Presiden                              : Kamarul Helmi bin Kamarudin
                                Naib Presiden                     : Nor Nazneem binti Inche Kamarudin
                                Setiausaha                          : Salehana binti Sallehin
                                Bendahari                            : Nurafeefa binti Bungsu
                                Ketua Penerangan             : Mohamad Ali bin Affandi

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada mereka yang telah dilantik dan terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada barisan kepimpinan 2011/12 yang telah menjalankan tugas masing-masing dengan berjaya selain menjadi pelajar dalam pada masa yang sama. Presiden dan Naib Presiden sesi 2012/13 telah dipanggil bagi menyampaikan sedikit ucapan sepatah dua kata usai pengumuman tersebut. Sebelum mengakhiri majlis, satu sesi soal jawab telah dijalankan bagi menyelesaikan segala masalah agar buku baru dapat dibuka sebelum memulakan sesi 2012/13.

Sekitar jam 10.30 malam, hadirin telah dijamu dengan nasi kerabu hasil tangan chef terkenal Wellington, tidak lain tidak bukan- saudari Nurul Najihah. Selesai makan, majlis pun bersurai.


Disediakan oleh,

Salehana Sallehin
Setiausaha WUC 2012/13

FAREWELL DINNER 2012

FAREWELL DINNER 2012


Kamarul Helmi, PresidenWUC 2012/13 menyampaikan penghargaan kepada
Addy Fitri, mantan Presiden WUC 2011/12

Majlis makan malam kecil-kecilan ini telah diadakan di Portofino Restaurant pada 7 November 2012. Makan malam ini adalah untuk menghargai ahli jawatankuasa yang telah berkhidmat bersama WUC sepanjang sesi 2011/12 disamping menjadi wadah pertemuan terakhir antara ahli jawatankuasa sebelum berangkat pulang ke Malaysia untuk bercuti dan yang telah tamat tempoh pembelajaran di Victoria University of Wellington. 

Bermula dari pukul 8 malam, rata-rata tetamu mula hadir sedikit demi sedikit memandangkan waktu Maghrib masuk lewat. Sekitar jam 9 malam, makan malam bermula selepas pelayan selesai mengambil pesanan. Kamarul Helmi memulakan majlis dengan ucapan ringkas dan diikuti penyampaian sedikit cenderamata kepada mantan ahli jawatankuasa yang akan pulang kerana telah tamat belajar. Majlis diteruskan dengan para tetamu bertukar-tukar kad, mengambil gambar sebagai kenang-kenangan dan bercerita tentang satu sama lain sementara menunggu makanan disajikan. Upacara tamat sekitar 10.00 malam dan diakhiri dengan mengambil gambar kenangan akhir bersama-sama di hadapan restoran.

Ahli jawatankuasa diberi penghargaan atas penglibatan mereka dalam menjalankan tugas secara sukarela sepanjang tahun 2012 selain memberi kenangan akhir kepada pelajar tahun akhir yang akan pulang tidak lama lagi.


Ahli jawatankuasa WUC sesi 2011/12 & 2012/13 
Kami, ahli jawatankuasa sesi 2012/13 ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli jawatankuasa sesi 2011/12 atas usaha yang telah diberikan untuk WUC selama tempoh bertugas dan kami akan berusaha dengan kemampuan kami untuk meneraju kejayan WUC untuk sesi 2012/13. Kami mendoakan kejayan dan kesejahteraan anda.

Disediakan oleh,

Salehana Sallehin
Setiausaha WUC 2012/13


Majlis Resepsi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand


Majlis Resepsi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand


TYT Rosmidah binti Zahid bersama pimpinan pelajar
dan Pengerusi Kelab UMNO Wellington.

Pada 18 Julai 2012 , telah berlangsung satu majlis resepsi untuk menerima kedatangan Tuan Yang Terutama (TYT) Rosmidah binti Zahid, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand yang baru. Majlis ini telah berlangsung di Dewan Bunga Raya, Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Wellington. Selain dari ‘home-based staff’, para pepimpin persatuan pelajar dan persatuan Malaysia di Wellington, New Zealand turut dijemput untuk menghadiri majlis resepsi ini. Majlis yang dijalankan secara sederhana dan santai ini memberi peluang untuk semua kakitangan dan pemimpin persatuan Malaysia di Wellington untuk beramah mesra dan mengenali dengan lebih dekat akan TYT Rosmidah binti Zahid. Beliau telah menggantikan TYT Dato’ Mazlan bin Mohammad yang telahpun berpindah dan menjadi Wakil Tetap Malaysia ke United Nation di Geneva.

Warga Kelab UMNO Welington ingin mengalu-alukan kedatangan TYT Rosmidah binti Zahid dan mengharapkan agar hubungan yang lebih erat akan terjalin antara semua warga Malaysia di New Zealand dan pihak Suruhanjaya Tinggi di sini.
Sekian , wasssalam.


Laporan disediakan oleh,
Addy Ahmad                                                                                                                                              Pengerusi Kelab UMNO Wellington.

Aktiviti WUC Bermain Paintball!


Pada 14 Julai yang lepas, Exco Sukan dan Kebudayaan WUC telah menganjurkan WUC Paintball. Aktiviti tersebut dijalankan di Thunderball Adventure Games, Manor Park, Lower Hutt.  Faiznur Norman dan Nor Nazneem selaku ahli exco telah mengetuai aktiviti ini.


Pada pukul 8.30 pagi, seramai 20 orang ahli WUC berkumpul di Wellington Railway Station. Tepat jam 9.05 pagi, kami memulakan perjalanan selama 40 minit ke Manor Park. Perjalanan pergi dan balik telah ditaja sepenuhnya oleh WUC. Thanks a million WUC! ;)

Setibanya kami di hadapan pintu masuk Thunderball Adventure Games. Wajib bergambar dulu! =)

Semua ahli WUC yang terlibat dalam aktiviti ini memberi respon yang sangat positif walaupun sudah kepenatan bermain paintball selama tiga jam! Objektif aktiviti ini iaitu memupuk semangat kesukanan dan nilai kerjasama antara ahli kelab terbukti tercapai. Melalui aktiviti ini juga,selain dapat berkenalan dan mengeratkan hubungan, ahli kelab dapat juga sedikit-sebanyak mengisi masa cuti semester yang tinggal dengan aktiviti yang sangat bermanfaat ini.





Untuk lebih gambar-gambar sepanjang aktiviti ini bolehlah melawati laman page facebook kami di FB page Kelab UMNO Wellington (WUC)

Nantikan aktiviti WUC seterusnya, mungkinkan bowling, menaiki bot atau berkayak?? Tungguuuuuu.... =D

Laporan disediakan oleh,

Siti Faiznur Norman,
Ketua Exco Sukan, Kebudayaan dan Sosial WUC




Pertandingan Debat Piala Kelab UMNO New Zealand

 Bersempena dengan ‘Bersatu Games 2012’ yang diadakan pada 1-5 Julai 2012 di Christchurch yang lalu, Kelab UMNO Welington tidak terlepas peluang menghantar 4 orang wakil pendebat yang hebat, mempunyai daya saing yang mantap serta berkeyakinan tinggi. Motifnya tidak lain dan tidak bukan iaitu untuk berjuang di dalam Pertandingan Debat Piala Kelab UMNO New Zealand yang diadakan pada setiap tahun. Berbekalkan persediaan yang rapi dan kemahiran berhujah di khalayak ramai, wakil-wakil yang dihantar oleh kelab ini mampu memberikan saingan yang sengit kepada pendebat-pendebat lain.


 Berentap buat pertama kalinya pada 3 Julai 2012 yang lalu, pendebat-pendebat kita telah berjaya mengalahkan wakil pendebat Kelab UMNO Otago di peringkat separuh akhir atas dasar penghujahan yang jelas, pengisian yang menepati kehendak usul serta kelemahan pihak lawan yang mengutarakan hujah yang rapuh. Oleh itu, berbekalkan strategi yang sama serta ditambahkan lagi dengan keyakinan yang semakin tinggi, mereka telah memberikan saingan yang sengit terhadap wakil-wakil pendebat dari Kelab UMNO Auckland pada peringkat akhir. Rata-rata pendebat menyifatkan bahawa pengalaman pertama mereka berdebat di luar negara sebagai sesuatu yang sangat berguna kerana ini meningkatkan keyakinan mereka berucap di khalayak ramai serta meningkatkan kemahiran berkomunikasi.




 Segala usaha dan pengorbanan yang dicurahkan oleh para pendebat telah terbayar dengan kejuaraan yang dirangkul oleh wakil-wakil pendebat daripada Kelab UMNO Wellington di dalam pertandingan debat Kelab UMNO New Zealand dan seterusnya mengukir kenangan terindah buat seluruh warga pelajar Malaysia di Wellington atas kejayaan pendebat-pendebat kita. Peserta membawa pulang sebuah piala dan setiap pendebat mendapat hadiah sampingan beserta plak. Tambahan lagi, salah seorang pendebat kita telah dipilih sebagai pendebat terbaik pada peringkat separuh akhir dan akhir dan sekaligus membanggakan seluruh warga pelajar di Wellington. Kejayaan besar ini diharap akan meningkatkan lagi minat warga pelajar untuk memikul tanggungjawab ini pada masa akan datang dan seterusnya mengekalkan kejuaraan yang dirangkul.  

Nor Nazneem Inche Kamarudin
Ahli Jawatankuasa Exco Sukan dan Kebudayaan




AMAZING RACE DAN LUNCH

Pada 27 Mei 2012, WUC telah menganjurkan aktiviti Amazing Race dan Lunch. Aktiviti ini merupakan aktiviti tahunan WUC yang sering dinantikan oleh semua. Pada kali ini, penyertaan bagi Amazing Race sangatlah meriah kerana sebanyak 13 kumpulan iaitu seramai 39 orang peserta telah mendaftarkan diri untuk manyahut cabaran yang dijanjikan sangat menarik. =)


Amazing Race dijalankan pada sesi pagi bermula jam 9 hinggalah ke tengahari di mana ‘checkpoint’ pertama telah dirasmikan oleh Mr. President WUC, Addy. Semua tugasan bagi setiap ‘checkpoint’ dilakukan di sekitar bandar Wellington dan Victoria University of Wellington berdasarkan ‘clue’ dan soalan yang perlu difikir secara kreatif. Antara tugasan yang menarik ialah menemu-ramah warga Kiwi di Cuba Street bagi merakam video mereka menyanyikan lagu rakyat! Menarik bukan? =D

Selesai saja Amazing Race, sesi Amazing Lunch pula diadakan bertempat di rumah cik vice president, Najihah. Walaupun kawasannya agak sempit kerana ramai yang datang, namun semua peserta sangat kenyang dan berpuas hati dek juadah yang enak seperti ayam dan sosej bakar beserta sos BBQ dan coleslaw. Pujian haruslah diberikan kepada cik setiausaha WUC, Adibah selaku ketua chef serta AJK WUC yang lain yang telah bertungkus-lumus menyediakan hidangan tersebut! =)


Presiden Kelab UMNO Wellington memberikan ucapan sepatah dua kata

Pemenang tempat pertama 

Pemenang tempat kedua

Pemenang tempat ketiga

Pemenang tempat keempat



Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam memeriahkan aktiviti ini! Big claps to all!!
Untuk lebih gambar-gambar sepanjang aktiviti ini bolehlah melawati laman page facebook kami di 
FB page Wellington UMNO Club (WUC)

Laporan disediakan oleh,

Siti Faiznur Norman 
Ketua Exco Sukan, Kebudayaan dan Sosial WUC

Program Beramah Mesra Bersama Y.B. Dato’ Seri Haji Idris Bin Jusoh


Pada 30 April 2012 yang lepas, bersempena dengan kedatangan Y.B. Dato’ Seri Haji Idris Bin Jusoh, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) ke New Zealand, satu perjumpaan telah diadakan antara pelajar tajaan MARA di Wellington, pegawai MARA, dan wakil dari High Commission of Malaysia (HICOM). Program ini bertempat di salah salah sebuah bilik kuliah di Victoria University of Wellington dan dihadiri oleh semua pelajar tajaan MARA. Program yang bermula pada pukul 5.30 petang ini menjadi medium bagi mengumpulkan rakyat Malaysia di Wellington, NZ.

Antara pelajar tajaan MARA.

Salah satu objektif perjumpaan ini adalah untuk membincangkan perkembangan aktif pelajar MARA di Wellington, dan juga menyelesaikan beberapa isu dan masalah yang dihadapi pelajar sepanjang pengajian mereka di bumi New Zealand ini termasuklah masalah kontrak dan kewangan. Hal ini menunjukkan keprihatinan penganjur terhadap kebajikan pelajar di luar negara.

Y.B. Dato’ Seri Haji Idris Bin Jusoh sedang meyampaikan ucapan.

Selain itu, perjumpaan ini memberi peluang kepada pelajar untuk mendekati dan lebih mengenali peneraju MARA iaitu Y.B. Dato’ Seri Haji Idris Bin Jusoh secara bersemuka. Peluang yang diberikan ini digunakan sebaik mungkin oleh para pelajar untuk mendengar perkongsian pengalaman dan pahit manis kehidupan yang ditempuhi beliau sepanjang perkhidmatan beliau bersama kerajaan Malaysia.

Ucapan beliau diakhiri dengan laungan “1 Malaysia” oleh semua hadirin.

Dengan kehadiran beliau ke Wellington secara tidak langsung meningkatkan semangat para pelajar untuk terus berjuang menimba ilmu seluas langit di bumi Wellington ini sebelum pulang berkhidmat kepada negara tercinta. Beliau tanpa jemu melontarkan nasihat yang membina kerana beliau percaya bahawa pelajar-pelajar inilah yg bakal melayarkan bahtera kepimpinan kerajaan Malaysia pada masa akan datang.

Y.B. Dato’ Seri Haji Idris Bin Jusoh bersama wakil HICOM dan presiden WMSO dan UMNO.

Oleh itu, buat pelajar Malaysia di serata dunia, ayuhlah kita teruskan misi menimba ilmu dan mencari pengalaman yang berharga di tempat orang ini agar nanti kita mampu menyumbang kepada kemajuan agama, bangsa dan negara.

Disediakan oleh,

Nurul Ain Liyana binti kamalruzzaman
Ahli Jawatan Kuasa Exco Pendidikan


MAJLIS MEET AND GREET WUC 2012

Majlis “Meet & Greet WUC” merupakan pertemuan rasmi pertama bagi semua ahli Kelab UMNO Wellington bagi tahun 2012. Tujuan majlis diadakan untuk memperkenalkan barisan ahli jawatankuasa Kelab UMNO Wellington bagi sesi 2012 serta membentangkan cadangan aktiviti- aktiviti yang telah dan bakal dijalankan pada tahun ini. Seramai lebih kurang 80 orang ahli berdaftar telah menghadiri majlis yang diadakan pada 29 April 2012 ini. Majlis ini diadakan di Memorial Foyer Student Union Building, Victoria University of Wellington.

Majlis ini diserikan lagi dengan kehadiran Dato’ Seri Idris bin Jusoh bersama-sama wakil dari Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand Dr. Rosli bin Mohammad serta Encik James Koh. Dato’ Seri Idris Jusoh mengambil kesempatan untuk bersama-sama dengan ahli Kelab UMNO Wellington dalam rangka lawatan beliau sebagai pengerusi MARA untuk melawat pelajar-pelajar tajaan MARA pada keesokan harinya.

Majlis ‘Meet and Greet WUC 2012’ ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Kelab UMNO Wellington, saudara Muhammad Fitri bin Ahmad dan diteruskan dengan ucapan mesra oleh Dato’ Seri Idris bin Jusoh. Sempena pertemuan yang pertama antara ahli kelab, pertandingan memasak sajian pencuci mulut telah dijalankan di mana ahli-ahli yang berminat boleh menunjukkan kehandalan mereka dalam menyediakan hidangan pencuci mulut yang dapat memikat ahli-ahli yang lain. Undian dijalankan bagi menentukan para pemenang. 

 Gambar-gambar sepanjang majlis berlangsung.

Dato Seri Idris Jusoh menyampaikan ucapan beliau dengan bersahaja dan santai.


Sebahagian dari ahli yang hadir mengambil kesempatan bergambar bersama Dato’ seri Idris Jusoh.

Pengerusi Kelab UMNO Wellington, Saudara Muhammad Fitri bersama dengan Dato’ Seri Idris Jusoh dan wakil dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand dan presiden Persatuan Pelajar Malaysia Wellington (paling kanan).


Gambar kenang-kenangan bersama sebahagian pelajar yang hadir ke majlis Meet & Greet WUC 2012


Alhamdulillah, majlis ini telah berjalan dengan lancar dan penglibatan semua ahli adalah memuaskan. Kami mengharapkan agar kerjasama, ukhuwah dan perpaduan antara ahli kelab akan terus utuh dan silaturrahim ini akan terus terpelihara demi kemajuan ummah. Tidak dilupakan juga Sekalung penghargaan buat Dato’ Seri Idris Jusoh atas kesudian bersama-sama dengan ahli-ahli Kelab UMNO Wellington.

“MARTABAT BANGSA GEMILANG”

Disediakan oleh:
NUR ‘AMIRA JAMALUDIN
KETUA AJK TUGAS-TUGAS KHAS


Laporan Perkembangan Muhd Ariff Zulkifly




Laporan Perkembangan Muhd Ariff Zulkifly,bekas pemain Harimau Muda B di NZ

Pada 28 Februari 2012 yang lalu, bekas kapten skuad Bola Sepak Bawah 17 Tahun Negara yang juga bekas pemain Harimau Muda B, Muhd Ariff Bin Zulkifly telah tiba di bumi Wellington, NZ untuk menjalani ujian percubaan di Akademi Bola Sepak Ole’. Percubaan ini adalah amat penting bagi beliau sebagai batu loncatan untuk mencapai impiannya untuk bermain di luar negara di peringkat tertinggi pada suatu hari nanti. Kedatangan beliau telah disambut mesra oleh wakil-wakil pelajar Malaysia di Wellington. Jelas sekali beliau menggalas harapan tinggi ribuan peminat bola sepak Malaysia untuk melihat anak muda Malaysia juga mampu bersaing pada peringkat tertinggi dalam arena bola sepak sekaligus mampu menaikkan prestasi pasukan bola sepak Malaysia suatu hari nanti.


Setelah dua bulan beliau menjalani ujian percubaan di Akademi Bola Sepak Ole, prestasi Ariff boleh dikatakan sangat memberangsangkan. Ariff telah berjaya memikat jurulatih pasukan Liga Divisyen Dua NZ, Island Bay United untuk bermain bersama kelab itu dan telah ditawarkan kontrak selama satu musim. Pencapaian ini adalah amat membanggakan kerana bukan mudah untuk pemain dari Malaysia untuk bersaing mendapat tempat di luar Negara memandangkan ranking bola sepak kita yang masih lagi jauh terkebelakang. Lebih membanggakan lagi Ariff telah berjaya mendapat tempat di kesebelasan utama pasukan berkenaan sebagai pemain pertahanan tengah kerana prestasinya yang begitu cemerlang sepanjang ujian percubaan.


Berita tentang penghijrahan Ariff ke NZ juga telah berjaya menarik perhatian peminat-peminat bola sepak di Malaysia dan telah mendapat liputan akhbar-akhbar utama di Malaysia. Jurulatih pasukan utama negara, Ong Kin Swee juga telah memberi respon positif tentang perkembangan Ariff dan menyifatkan kejayaan Ariff mendapat tempat di luar negara sebagai sesuatu yang amat membanggakan, apatah lagi Ariff baru sahaja berusia 19 tahun dan peluang beliau untuk menyertai pasukan kebangsaan pasti akan tiba suatu hari nanti jika beliau kekal berdisiplin dan berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan prestasinya.


Buat keluarga Ariff , rakan-rakan, penyokong dan peminat di Malaysia, marilah kita doakan yang terbaik untuk Ariff sepanjang perjuangan beliau disini. Harapan kami, semoga misi bekas kapten skuad Bawah 17 Tahun negara untuk mencuba nasib menjadi pemain profesional di luar negara terlaksana. Diharapkan dengan usaha ini, lebih ramai lagi pemain-pemain bola sepak dari Malaysia berani mencuba nasib di luar negara demi melihat kemajuan bola sepak Malaysia pada masa hadapan. Semoga dengan semangat ini, tidak mustahil bola sepak Malaysia akan kembali gah seperti zaman kegemilangan arwah Mokhtar Dahari, Santokh Singh dan R. Arumugam. Jika mereka boleh. mengapa tidak kita? Insyaallah dengan keazaman yang jitu, kita mampu melakukannya!

- MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA-

Laporan disediakan oleh,
Kamarul Helmi Kamarudin
Timbalan Bendahari
Wellington Umno Club

Aktiviti Kelab WUC ke Mt.KauKau!

Pada 17 Mac 2012, kelab WUC telah menganjurkan satu ekspedisi mendaki Gunung Kaukau (Mount Kaukau) di Johnsonville. Seramai lebih kurang 20 ahli WUC telah mengikuti ekspedisi ini. Addy, Presiden Kelab WUC mengetuai ekspedisi ini.

Pada pukul 9.00 pagi, semua ahli kelab WUC berkumpul di Wellington Railway Station. Perjalanan sehala telah ditaja oleh kelab WUC. Thank you WUC! ;)

Perjalanan ke Johnsonville mengambil masa selama lebih kurang 30 minit. Setibanya di sana, untuk ke kaki Mt.Kaukau, kami perlu berjalan sejauh 1km.



Kami tiba di puncak pada pukul  12.00 tengahari.:) Tahniah ahli kelab WUC! Nampaknye bukan calang-calang orang ye! ;)




                             Angle lain di puncak Mt.Kaukau ;)






                            Pemandangan dari puncak Mt.Kaukau.


Banyak memori indah telah terpahat di hati kesemua ahli kelab WUC yg mengikuti ekspedisi ini. Terpesona dan bersyukur dengan keindahan alam ciptaan-Nya serta semangat kebersamaan dapat dipupuk sepanjang ekspedisi ini. Diharapkan aktiviti-aktiviti sihat seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang. 

Untuk lebih gambar-gambar sepanjang aktiviti ini boleh lah melawati laman page facebook kami di http://www.facebook.com/media/set/?set=a.203923859716514.41635.196906273751606&type=3

Go WUC!

Iznie Othman
Ketua Penerangan WUC 11/12

Hari Pendaftaran Kelab UMNO Wellington (WUC) 2012


Pada 10 April yang lalu, bersamaan hari Sabtu, Kelab UMNO Wellington telah mengadakan hari pendaftaran kelab bagi tahun 2012. Seramai lebih dari seratus orang pelajar Malaysia telah menghadirkan diri pada hari tersebut. Sesi pendaftaran ini telah diadakan serentak dengan majlis malam suai kenal antara pelajar dengan barisan majlis tertinggi 4 kelab utama di Wellington; Wellington-Malaysian Student Organization (WMSO), Wellington UMNO Club (WUC), ISMA dan Postgrade Club. Majlis ini turut dihadiri barisan-barisan pegawai dari Education Malaysia New Zealand. Majlis bermula dari 6.30 petang dengan kehadiran para tetamu dan diakhiri dengan sedikit jamuan makan-makan pada jam 9 malam. Berikut adalah gambar-gambar pada hari tersebut.

Poster Hari Pendaftaran Kelab UMNO Wellington (WUC)

Antara kelebihan mendaftar sebagai ahli Kelab UMNO Wellington


Pengerusi Kelab UMNO Wellington ketika menyampaikan taklimat tentang latar belakang dan kelebihan menyertai kelab ini.



Logo rasmi Kelab UMNO Wellington

Poster aktiviti dan promosi yang disediakan untuk ahli-ahli kelab.


Antara ahli-ahli yang mendaftar:









Gambar rasmi Ahli Jawatankuasa Kelab UMNO Wellington sesi 2012 (WUC)


Kelab UMNO Wellington turut menyediakan kemudahan kepada sesiapa pelajar Malaysia di Wellington yang masih belum mendaftar untuk menyegerakan pendaftaran keahlian secara online.

Semoga dengan sokongan padu dari ahli kelab dapat membaik pulih seterusnya memeriahkan pucuk  kepimpinan Kelab UMNO Wellington bagi sesi 2012 dan yang akan datang.

Laporan disediakan oleh,
Hidayah Hasnani,
Timbalan Ketua Penerangan KUW

 
Wellington UMNO Club © 2012 | REVAMPED by ABANG PANDA, EXCLUSIVELY FOR WELLINGTON UMNO CLUB