Pertandingan Debat Piala Kelab UMNO New Zealand

 Bersempena dengan ‘Bersatu Games 2012’ yang diadakan pada 1-5 Julai 2012 di Christchurch yang lalu, Kelab UMNO Welington tidak terlepas peluang menghantar 4 orang wakil pendebat yang hebat, mempunyai daya saing yang mantap serta berkeyakinan tinggi. Motifnya tidak lain dan tidak bukan iaitu untuk berjuang di dalam Pertandingan Debat Piala Kelab UMNO New Zealand yang diadakan pada setiap tahun. Berbekalkan persediaan yang rapi dan kemahiran berhujah di khalayak ramai, wakil-wakil yang dihantar oleh kelab ini mampu memberikan saingan yang sengit kepada pendebat-pendebat lain.


 Berentap buat pertama kalinya pada 3 Julai 2012 yang lalu, pendebat-pendebat kita telah berjaya mengalahkan wakil pendebat Kelab UMNO Otago di peringkat separuh akhir atas dasar penghujahan yang jelas, pengisian yang menepati kehendak usul serta kelemahan pihak lawan yang mengutarakan hujah yang rapuh. Oleh itu, berbekalkan strategi yang sama serta ditambahkan lagi dengan keyakinan yang semakin tinggi, mereka telah memberikan saingan yang sengit terhadap wakil-wakil pendebat dari Kelab UMNO Auckland pada peringkat akhir. Rata-rata pendebat menyifatkan bahawa pengalaman pertama mereka berdebat di luar negara sebagai sesuatu yang sangat berguna kerana ini meningkatkan keyakinan mereka berucap di khalayak ramai serta meningkatkan kemahiran berkomunikasi.




 Segala usaha dan pengorbanan yang dicurahkan oleh para pendebat telah terbayar dengan kejuaraan yang dirangkul oleh wakil-wakil pendebat daripada Kelab UMNO Wellington di dalam pertandingan debat Kelab UMNO New Zealand dan seterusnya mengukir kenangan terindah buat seluruh warga pelajar Malaysia di Wellington atas kejayaan pendebat-pendebat kita. Peserta membawa pulang sebuah piala dan setiap pendebat mendapat hadiah sampingan beserta plak. Tambahan lagi, salah seorang pendebat kita telah dipilih sebagai pendebat terbaik pada peringkat separuh akhir dan akhir dan sekaligus membanggakan seluruh warga pelajar di Wellington. Kejayaan besar ini diharap akan meningkatkan lagi minat warga pelajar untuk memikul tanggungjawab ini pada masa akan datang dan seterusnya mengekalkan kejuaraan yang dirangkul.  

Nor Nazneem Inche Kamarudin
Ahli Jawatankuasa Exco Sukan dan Kebudayaan




1 comment:

 
Wellington UMNO Club © 2012 | REVAMPED by ABANG PANDA, EXCLUSIVELY FOR WELLINGTON UMNO CLUB